Minimalis - BUKAN cara saya
Dalam artikel ini saya kongsi tentang apa yang saya buat untuk cara hidup minimalis. Kali ini saya nak kongsikan apa yang saya tak akan buat semata-mata untuk hidup secara minimalis.
Jom tengok satu-satu:
1. Tunggu pengumuman harga minyak setiap minggu
Sesetengah orang berjimat dengan cara ini. Setiap minggu mereka tunggu harga minyak dan kemudian baru buat keputusan untuk isi minyak atau tak. Saya tak serajin itu. Saya cuma isi minyak setiap kali ia dah nak habis. Saya tak rasa berbaloi jimat 2,3 ringgit dan sentiasa perlu alert dengan harga minyak semasa. Much work, little benefit. Strategi saya adalah beli kereta murah. Jadi penjimatan saya jauh lebih banyak dibandingkan dengan mereka beli kereta mahal.
2. Beli barang sebab ada sale
Bagi saya, ada 2 sebab peniaga buat sale. Pertama untuk habiskan stok lama dan kedua untuk orang belanja lebih. Disebabkan saya hanya beli barang yang perlu, saya tak tengok sangat hal-hal sale. Saya akan tetap beli kalau saya perlu walaupun tiada sale, dan saya tetap tak akan beli kalau tak perlu walaupun ada sale. Simple strategi. Kalau saya perlukan barang itu, dan ia sedang sale, itu rezeki.
3. Obses kumpul kupon atau points kad bonus
Saya tak pernah guna kad bonus. Saya cuma ada akaun Air Asia Big, kad Tesco dan point kad kredit. Tapi semuanya tak berbaloi pun. Sebab saya tak banyak berbelanja. Ya, kumpul points hanya akan berbaloi kalau anda berbelanja banyak. Itu strategi pemasaran.
4. Masak semua makanan dalam sehari
Saya memang masak makan malam dan hujung minggu, tapi saya tak akan masak semua makanan. Sebab, ia akan ambil masa yang sangat banyak dan saya bukan suri rumah. Jadi untuk makan tengahari biasanya saya makan diluar. Keperluan saya simple - ada 30% karbohidrat, 30-50% protein dan 30-30% sayur-sayuran. Jadi saya suka makan nasi campur. Dan biasanya gerai nasi campur lebih murah untuk penuhi keperluan saya tu. Makanan di kedai biasanya 80% karbohidrat sahaja (contohnya nasi goreng ayam atau spagetti carbonara, dan sebagainya).
5. Ikat perut / makan makanan murah semata
Ini sesuatu yang saya tak pernah buat. Makan megi atau roti sepanjang masa bukan cara saya. Sebab saya cuba jaga pemakanan sebaik mungkin. Walaupun minimalis, saya sentiasa makan makanan seimbang dan seimbangkan antara membeli makanan siap dan memasak sendiri.
Setakat ini, itulah yang saya boleh fikir tentang apa yang saya tak akan lakukan untuk jadi minimalis dan berjimat cermat.
Apa strategi penjimatan anda?
Comments
Post a Comment